Aiman Hanif
TIMBALAN Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan mendakwa beliau masih kabur dengan situasi politik negara masa kini.
Bagaimanapun katanya, parti itu masih lagi mendokong dan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“I’m also in the dark,” kata Mohamad yang dikenali sebagai Tok Mat ketika diminta mengulas pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa memiliki majoriti bagi membentuk kerajaan baru.
“Setakat masa ini, Umno masih lagi bersama mendokong dan dan menyokong kerajaan Perikatan Nasional.
“Sebarang perubahan pendirian sokongan mestilah di putuskan oleh parti,” katanya kepada Malaysiapost.
Terdahulu, Presiden PKR itu mendakwa mempunyai majoriti bagi membentuk kerajaan.
Beliau memaklumkan perkara itu dalam sidang media berkenaan di Hotel Le Meridien di Kuala Lumpur tengah hari tadi.
Pada sidang media itu Anwar mendakwa dia sudah memiliki sokongan majoriti yang kukuh dan meyakinkan namun enggan mendedahkan jumlah anggota parlimen yang memihak kepadanya.
Susulan kenyataan Anwar, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan berkata dia tidak boleh menghalang sekiranya Ahli Parlimen parti itu menyokong Presiden PKR itu.
Malah katanya, beliau mendapat maklumat bahawa ramai Ahli Parlimen parti itu menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.- Malaysiapost

