BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sekali lagi menafikan namanya tersenarai dalam ‘Pandora Papers’, dan mencabar pihak yang mengaitkan namanya dalam skandal itu mengemukakan bukti.
Ahli Parlimen Pekan itu juga menegaskan beliau tidak memiliki akaun bank pesisir seperti yang didakwa.
“Ini adalah fitnah. Saya bukan antara individu yang dinamakan dalam Pandora Papers sebab saya tidak pernah milik akaun bank offshore.
“Saya telah jelaskan beberapa kali tapi korang masih ulangi fitnah tersebut,” katanya di Facebook.
Najib berkata demikian susulan laporan Malaysiakini baru-baru ini yang menyiarkan kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai Pandora Papers.
Anwar mendakwa beliau masih ingat di Parlimen tatkala berucap tentang ‘Pandora Paper’ yang melibatkan bekas Perdana Menteri, bekas Menteri Kewangan dan semua nama-nama besar dari pelbagai parti.
Justeru, Najib mencabar Anwar dan Malaysiakini menjelaskan kenyataan yang disiarkan itu memiliki bukti untuk mengaitkan namanya dalam skandal Pandora Papers.
“Saya nak beri peluang kepada Anwar Ibrahim dan Malaysiakini untuk jelaskan kenyataan mereka.
“Adakah kamu betul-betul kata bahawa saya antara individu yang dinamakan sebagai pemilik akaun bank offshore yang dinamakan dalam Pandora Papers?
“Jika nama saya tersenarai sebagai salah seorang pemilik akaun dalam Pandora Papers, saya beri peluang bagi kamu beri bukti,” katanya.
Dengan sinis, Najib turut menyertakan pautan mengenai siasatan agensi antarabangsa yang membuktikan beliau tidak terlibat dalam skandal itu.
“Di sini saya sudah bantu (Anwar dan Malaysiakini) buat search: https://offshoreleaks.icij.org/investigations/pandora-papers?q=najib+razak&commit=Search&c=&j=.
“Adakah nama saya tersenarai? Najib Razak tak ada. Yang ada ialah Najib Mikati, Perdana Menteri Lebanon,” katanya. -Malaysiapost

