PARTI Gerakan bakal menampilkan calon yang memiliki perwatakan fizikal dan rupa paras menarik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac nanti.
Presidennya Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, berkata faktor itu penting kerana PRN Johor dijangka akan diadakan dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) ketat yang menyebabkan kurang interaksi bersemuka antara calon dan pengundi.
Menurutnya, rupa paras seperti calon lelaki yang kacak dan calon wanita yang cantik penting untuk menawan hati pengundi.
“Calon-calon yang diketengahkan Gerakan mewakili Perikatan Nasional (PN) perlu memiliki rupa paras untuk menarik sokongan pengundi kerana kami jangka PRN Johor akan diadakan dengan SOP ketat.
“Calon-calon akan lebih banyak berkempen menggunakan medium media sosial, poster dan gambar-gambar, jadi adalah penting untuk calon memiliki rupa,” katanya dalam sidang media di Kulai seperti dilaporkan Malaysiagazette, hari ini.
Dominic bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah kerusi yang akan ditandingi parti berkenaan.
Menurutnya, Gerakan akan bertanding di lebih dua kerusi tetapi kurang daripada 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
“Pada Pilihan Raya Umum lalu, Gerakan bertanding di satu kerusi Parlimen dan dua kerusi DUN, jadi pada PRN Johor kali ini, kita akan meletakkan calon di lebih daripada dua kerusi tetapi kurang daripada 10 kerusi.
“Kami yakin mempunyai sokongan kuat daripadanya masyarakat akar umbi di negeri ini bukan sahaja daripada komuniti Cina tetapi semua kaum dengan pelbagai latar belakang yang berbeza,” katanya. – Malaysiapost

