UMNO Sabah diingatkan supaya tidak melakukan kesilapan dan berhati-hati menjalankan tanggungjawab diberikan rakyat dalam menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri.
Peringatan itu dibuat Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang kini berada di Sabah bagi bertemu dengan ahli dan kepimpinan Umno negeri.
Menurutnya, antara yang sempat beliau sentuh dalam ucapan pada Majlis Makan Tengah Hari dan Ramah Mesra Bersama Kepimpinan Umno Sabah, semalam adalah berkenaan dinamika politik Sabah.
“Kita imbau dulu apabila 22 daripada 25 ketua bahagian ‘mufarakah’ meninggalkan perjuangan kita, tetapi Alhamdulillah berkat kepimpinan tiga sahabat Umno Sabah terus relevan dan kuat..dan hari ini menjadi sebahagian kerajaan negeri.
“Kita sering diuji dan ujian tetap datang…sekarang kita diuji dengan jawatan apabila menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri.
“Rakyat sedang memerhati kita…samaada kita yang jadi sebahagian kerajaan benar-benar membantu mereka dan saya khuatir kalau persepsi kepada ‘performance’ kita,” katanya di Facebook, hari ini.
Beliau mengingatkan agar ahli Umno tidak melakukan kesilapan dan jangan pandang rendah seperti mana kata-kata perumpamaan, ‘kerana sebiji kulit pisang kita akan jatuh terpijak’.

Sementara itu, dalam satu lagi hantaran Ahmad Zahid memaklumkan turut memenuhi undangan bagi merasmikan Persidangan Perwakilan Tri-Tahunan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Ke-3 Di Dewan Hakka, Tanjung Lipat, Likas Kota Kinabalu, hari ini.
“Terima kasih PBRS atas jemputan untuk merasmikan persidangan kali ini.
“Semoga kestabilan politik Sabah akan memacu ekonomi negeri dan membawa kemakmuran kepada rakyat keseluruhannya,” katanya. – Malaysiapost

