DATUK Seri Anwar Ibrahim mengakui beliau mungkin telah lama dilantik menjadi Perdana Menteri sekiranya beliau berkompromi dengan parti-parti tertentu.
Namun Presiden PKR itu mendakwa terpaksa menangguhkan agenda reformasi yang dibawanya kerana ketegasan untuk tidak berkompromi dengan golongan tersebut yang menjadi satu daripada punca beliau tidak dapat menjadi Perdana Menteri.
“Jadi jangan meremehkan kemungkinan dalam politik, dalam pilihan raya ada yang ditaja hanya untuk melemahkan agenda reformis.
“Saya akui tidak mudah. Ya saya belum berhasil penuh. Tapi kalau saya kompromi, saya sudah berhasil. Jangan lupa, kalau saya kompromi, saya sudah jadi Perdana Menteri,” katanya dalam program Wawancara Eksklusif Sinar Harian, semalam.
Anwar berkata, pendirian untuk menentang penyelewengan dan rasuah menyebabkan dirinya tidak popular dan tiada pihak mahu membantu PKR.
“Saya tentu tidak popular, jadi tokoh-tokoh yang besar susah nak bantu PKR selagi Anwar jadi ketua.
“Terus terang saya boleh berkawan dengan semua, tetapi untuk kompromi soal ini (rasuah), akan menjahanamkan negara kita,” katanya.
Ahli Parlimen Port Dickson itu menegaskan, beliau mengambil risiko besar apabila berjuang mengenai isu tersebut.
Katanya, agenda reformasi untuk menghapuskan rasuah dan penyelewengan bakal lemah sekiranya kewujudan golongan konglomerat yang menaja parti politik tertentu dalam pilihan raya tidak dibendung.
“Saya masih ingat di Parlimen tatkala berucap tentang ‘Pandora Paper’ yang melibatkan bekas Perdana Menteri, bekas Menteri Kewangan dan semua nama-nama besar dari pelbagai parti.
“Speaker larang saya bicara tetapi saya nak bicara sebab ini menyentuh kepentingan negara. Berbilion ringgit dibawa keluar dan orang-orang ini sekarang mahu jadi jaguh.
“Yang hendak menyelamatkan orang-orang Melayu itulah juga yang bawa ratusan juta keluar negara. Dia ada penyokong sebab dia ada wang. Sebab dia ada golongan korporat yang akan membantu,” katanya. – Malaysiapost

