
PENGERUSI Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin digesa lebih agresif dan radikal memikirkan jalan keluar dan inisiatif baharu dalam menangani Covid-19.
Gesaan itu dibuat oleh Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berpendapat strategi baharu diperlukan yang bukan sahaja lebih berkesan membendung Covid-19, namun mesti lebih praktikal, manusiawi serta munasabah.
“Amaran demi amaran berkaitan dengan varian-varian baharu tidak akan menyebabkan keadaan bertambah baik.
“Dalam hal ini, Pengerusi MPN, sepatutnya lebih agresif dan radikal memikirkan jalan keluar dan inisiatif baharu. Dan tidak hanya bergantung harap pada kerajaan secara keseluruhannya sahaja,” katanya di Facebook, hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, itulah fungsi kritikal MPN, namun hampir tidak mendengar apakah saranan baharu dari Pengerusi MPN dalam menghadapi tahun 2022 melainkan amaran demi amaran dengan peningkatan kes serta kedatangan varian Omicron.
“Saya percaya, banyak yang boleh dilakukan oleh Pengerusi MPN dalam memberikan kepimpinan dan idea segar.
“Antaranya, apakah strategi negara memastikan pembukaan berperingkat sempadan negara dilakukan dengan cara yang praktikal, tidak membebankan dan mampu merancakkan kembali proses perjalanan komersial dan aktiviti ekonomi,” katanya.
Beliau berkata, selain itu, adalah mustahak untuk Pengerusi MPN menggerakkan pasukannya agar aktif memberi saranan dan nasihat kepada kerajaan berhubung meningkatkan pengambilan suntikan dos penggalak dan pelaksanaan sesi persekolahan serta pengajian tinggi pada kapasiti penuh.
“Semakin lama kita berpeluk tubuh dan mengambil jalan untuk sekadar menunggu dan lihat, semakin rugi negara dan anak bangsa kita.
“Saya harap perkara ini akan diberikan perhatian oleh Pengerusi MPN, dan semoga beliau tidak menjadikan kesibukan berkempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai alasan,” katanya.
Ahmad Zahid bagaimanapun menghargai komitmen kerajaan khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menjanjikan bahawa tidak akan dilakukan ‘lockdown’ lagi, terutamanya menjelang Aidilfitri nanti.
“Keprihatinan kerajaan terhadap kesukaran serta kemelaratan yang akan ditanggung rakyat akibat siri-siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berterusan amat dihargai,” katanya. – Malaysiapost
