KEDUDUKAN Ahli Parlimen Kuala Nerus, Mohd Khairuddin Aman Razali sebagai setiausaha Majlis Syura Pas akan dibincangkan, kata Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin.
Menurutnya, secara asasnya berdasarkan perlembagaan parti pelantikan setiausaha harus dibuat daripada kalangan anggota Majlis Syura.
“Sebenarnya saya belum buat keputusan lagi, cuma berunding dengan kawan-kawan (dalam Majlis Syura). Setakat sekarang dia sudah di tarik (jawatan sebagai) Ahli Majlis Syura daripada ahli jawatankuasa Pas pusat.
“Perlembagaan parti, setiausaha dilantik oleh Mursyidul Am. (Tetapi) Bagaimana nak lantik kalau bukan Ahli Majlis Syura.
“Sekarang dalam perbincangan Majlis Syura, tetapi kalau sudah digugurkan (anggota Majlis Syura), faham-fahamlah,” katanya kepada Malaysiapost.
Terdahulu, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan Khairuddin yang juga bekas menteri digugurkan daripada jawatan setiausaha Majlis Syura PAS berkuatkuasa semalam.
Abdul Hadi berkata, jawatan itu terbatal kerana jawatankuasa pusat Pas membatalkan pelantikannya sebagai anggota Majlis Syura.
“Dan nak jadi setiausaha Majlis Syura kena jadi Ahli Majlis Syura.
“Maka gugurlah (keanggotaannya) daripada Majlis Syura dan (jawatan sebagai) setiausaha Majlis Syura,” kata Hadi kepada pemberita di Marang, Terengganu, hari ini.
Sementara itu, Khairuddin ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai penggugurannya sebagai anggota Majlis Syura.
Beliau sebaliknya menghantar petikan mengenai Perlembagaan Pas khususnya mengenai tatacara perlantikan dan pemecatan setiausaha Majlis Syura.
Mengikut Perlembagaan Pas, Fasal 8 Majlis Syura Ulama (7) menyatakan seorang setiausaha Majlis Syura Ulama
hendaklah dilantik oleh Mursyidul Am di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Majlis Syura Ulama.
Jawatan itu dipegang selama lima tahun, namun boleh berhenti sebelum cukup tempoh dan boleh diberhentikan dengan persetujuan mesyuarat Majlis Syura Ulama serta pelantikan boleh diperbaharui setelah tamat tempoh jawatan. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook

