SEBANYAK 137 kampung di seluruh negara tersenarai dalam Program Desa Lestari di bawah inisiatif Kementerian Pembangunan Luar Bandar, (KPLB).
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata program berkenaan mula diperkenalkan pada 2013 bertujuan melonjakkan pengupayaan komuniti dalam merancang serta menjayakan pelaksanaan projek pembangunan di kampung.
“Desa Lestari adalah untuk memperkasa aktiviti ekonomi dan keusahawanan penduduk kampung melalui koperasi dengan membuka peluang pekerjaan baharu serta peluang peningkatan pendapatan kepada penduduk.
“Ia secara tidak langsung akan memajukan kampung yang menyertai program ini selain mengubah cara ke arah penggunaan teknologi digital dan kaedah yang lebih moden dan terkini dalam aktiviti ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media sempena Majlis Penyerahan Jentera Tani Program Desa Lestari kepada Koperasi Desa Cemerlang Air Melintas Besar, Kepala Batas, Kedah hari ini.
Menurutnya, kampung yang terpilih di bawah Program Desa Lestari akan menerima geran peruntukan bantuan pelaksanaan projek-projek ekonomi komuniti yang disalur melalui platform koperasi komuniti.
Katanya, geran bantuan projek meliputi enam sektor utama ekonomi iaitu pertanian, penternakan, pelancongan, perkhidmatan, pembuatan dan peruncitan.
“Di Pulau Pinang misalnya, sebanyak sembilan kampung telah menerima geran bantuan di bawah program berkenaan dengan nilai setakat tahun 2020 adalah sebanyak RM7.03 juta.

“Kampung Air Melintas Besar di Kepala Batas ini pula telah dipilih sebagai salah sebuah kampung Desa Lestari bagi menjalankan projek pertanian dengan jumlah geran yang telah diperuntukkan sebanyak RM752,300,” katanya.
Mahdzir berharap lebih banyak lagi kampung-kampung lain berusaha untuk menyertai program Desa Lestari dalam usaha membangunkan masyarakat di luar bandar seiring dengan perubahan zaman dan landskap ekonomi dunia. – Malaysiapost

