
KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) akan memberi perhatian untuk meningkatkan pemberian dos penggalak di kawasan-kawasan liputan rendah, khususnya untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Berdasarkan grafik dikongsi Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin di Twitter, tiga daerah di Johor mencatatkan kadar pemberian dos vaksin penggalak di bawah 40 peratus.
Daerah tersebut ialah Mersing (32 peratus), Pontian (35 peratus) dan Segamat (37 peratus).
Pada masa sama terdapat tiga daerah mencatatkan peratusan di bawah 50 peratus iaitu Tangkak (40 peratus), Kota Tinggi (42 peratus) dan Kluang (46 peratus).
Sementara itu Khairy berkata pemberian dos penggalak harian mula meningkat semula bermula minggu ini, berdasarkan satu lagi infografik dikongsinya.
“Dos penggalak memberi perlindungan yang baik terutama dalam gelombang Omicron. 80 peratus masyarakat Cina boosted.
“Namun perlu komunikasi yang lebih mantap di Facebook sebab Melayu kurang 50 peratus. Sarawak terbaik,” katanya. – Malaysiapost
