AHLI Dewan Negara, Senator Ir Khairil Nizam Khirudin mencadangkan nama ahli politik yang didapati bersalah dalam gejala rasuah dimasukkan dalam buku teks Sejarah sekolah.
Ini kerana menurut Ketua Penerangan PAS itu, pencegahan rasuah perlu bermula dan dididik sejak di bangku sekolah.
“Saya mencadangkan agar nama ahli-ahli politik yang didapati bersalah oleh pihak mahkamah dalam kes jenayah dan rasuah mestilah dimasukkan nama dan juga cerita mereka ke dalam buku teks Sejarah.
“Ini penting untuk dijadikan pengajaran buat mereka yang tidak amanah dan juga sebagai panduan generasi muda yang bakal memimpin negara pada masa akan datang,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Khairil Nizam berkata, rata-rata rakyat masih belum memberikan perhatian serius kepada pemimpin yang korup dalam negara ini.
“Ada ahli politik yang mengambil kesempatan merompak duit dan kekayaan negara sehingga mengkayakan diri, keluarga dan kroni mereka serta masih bebas.
“Adakah kerana politik wang telah menjadi barah dan menjadikan sebahagian daripada kita hanya memndang isu integriti ini dengan sebelah mata sahaja?,” soalnya.
Justeru, beliau menegaskan, kesedaran memerangi rasuah dalam masyarakat terutamanya rasuah yang dilakukan pemimpin politik mestilah bermula di bangku sekolah.
“Saya berharap rakyat akan menjadi pengundi matang dan bijak menilai apabila menjalankan tanggungjawab mereka pada setiap pilihan raya umum yang akan menentukan masa depan negara,” katanya. – Malaysiapost

