BN sedia jika ‘butang’ ditekan di peringkat Persekutuan selepas PRN Johor – Ahmad Zahid

0
2
updated

BARISAN Nasional (BN) tidak gusar sekiranya parti tertentu bertindak menekan ‘butang’ di peringkat Persekutuan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai tindak balas jika tewas dalam pilihan raya berkenaan.

Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN sentiasa siap siaga untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Beliau yang juga Presiden Umno mengakui faham ada pihak yang khuatir parti politik tersebut akan bertindak balas dengan menekan butang di peringkat Persekutuan andai tewas PRN Johor.

“Sebab itu sebilangan yang sedang selesa dan enak dengan kuasa serta kedudukan mendesak Umno menyerah tengkuk kepada musuh dalam selimut.

“Bagaimanapun itu bukan suatu yang menggusarkan BN kerana gabungan parti politik nasional ini sentiasa siap siaga untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15),” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, seperti PRN Johor adalah penting untuk mengembalikan kestabilan di negeri itu, PRU-15 juga mustahak untuk memastikan keadaan politik Malaysia kembali pulih.

“Kestabilan politik penting untuk memastikan Malaysia dapat bergerak maju ke hadapan dan bangkit segera daripada kerosakan sejak 9 Mei 2018,” katanya.

Beliau sekali lagi menegaskan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor terpaksa dibubarkan bagi memberi mandat kepada rakyat negeri itu membentuk semula kerajaan Johor.

Menurutnya, PRN Johor perlu diadakan apabila berlaku ketidakstabilan politik selepas kerajaan sedia ada hanya memiliki kelebihan satu kerusi majoriti.

“Banyak kali ini diperjelaskan termasuk risiko untuk mendapatkan kelulusan DUN terhadap sesuatu usul yang penting untuk rakyat negeri itu.

“Kerajaan Johor sedia ada juga berdepan dilema apabila sering diugut dan diancam oleh parti politik tertentu jika tidak menuruti kepentingan mereka,” katanya.

Justeru, beliau berkata sebelum parti politik berkenaan menekan butang secara tiba-tiba dan menimbulkan kekalutan, adalah lebih ‘afdal’ BN menekan butang terlebih dahulu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here