Nurul Izzah positif Covid-19

0
2

AHLI Parlimen Permatang Paul, Nurul Izzah Anwar mengesahkan beliau positif Covid-19 berdasarkan PCR yang dilakukannya.

“Saya telah menerima ujian laporan PCR yang menunjukkan saya positif Covid-19, namun memandangkan kami sudah menjalankan kuarantin kendiri sejak 6 Februari; kami akan meneruskan Home Surveillance Order (HSO) dan melakukan yang terbaik bagi melindungi Safiyah daripada terkena jangkitan.

“Selain daripada simptom ringan biasa (lesu, hidung berair dan sakit otot/sendi), Alhamdulillah kami dalam keadaan baik,” kata anak Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

Nurul Izzah berkata, Covid-19 bukanlah situasi yang mudah untuk dilalui dan ia mengimbau memori ketika beliau mengalami demam denggi, walaupun tidak begitu teruk untuk dibandingkan.

Sehubungan itu katanya, amat penting untuk semua terus dilindungi menerusi vaksinasi.

“Syukur, kita semua telah berjaya melengkapkan dos vaksinasi dan saya berharap agar kesemua kita dapat diberikan tahap perlindungan yang sama, InshaaAllah.

“Kami telah mengemaskini status harian menerusi MySejahtera – termasuk video latihan pernafasan dan penggunaan oksimeter yang betul,” katanya.

Beliau berkata, dalam situasi seperti itu, ia amat berguna untuk menyimpan segala maklumat berkaitan proses memulihkan diri dari Covid-19.

“Semalam saya dihubungi oleh adik saya, Ilham bagi bertanya khabar dan keadaan terkini. Ilham berkongsi, kita telah berjaya melindungi diri daripada jangkitan Covid-19 selama dua tahun semenjak pandemik ini bermula; dan hari ini kita mendepani jangkitan ini dengan perlindungan vaksinasi.

“MashaaAllah – begitu banyak nikmat yang perlu dikira; masih banyak yang perlu dilakukan bagi membantu orang lain yang masih menderita; dan mereka yang telah banyak kehilangan akibat pandemik berterusan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here