PARTI Bangsa Malaysia (PBM) akan bertanding di dua kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan pada 12 Mac ini.
Pengumuman itu dibuat oleh Ketua Penerangannya, Zakaria Abdul Hamid yang memaklumkan kerusi yang akan ditandingi dan nama calon akan diumumkan sebelum hari penamaan calon pada 26 Februari 2022.
“Majlis Tertinggi PBM telah memutuskan akan meletakkan calon untuk bertanding di dua kerusi di PRN Johor, yang akan diadakan pada 12 Mac 2022.
“PRN Johor adalah medan terbaik untuk kami memperkenalkan Agenda The Great Reset 2030,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, agenda berkenaan terdiri daripada enam tunjang utama iaitu mengeratkan perpaduan antara kaum, meningkatkan penglibatan golongan muda, memperkasakan peranan wanita, pembangunan ekonomi negara, menjana perkembangan sains dan teknologi serta peningkatan kualiti pendidikan di Malaysia.
“Kami berharap akan dapat memberikan saingan yang sihat kepada parti-parti politik lain yang bertanding di dalam PRN pada kali ini, dengan iltizam bagi mengukuhkan aspirasi demokrasi di Johor Darul Takzim,” katanya. – Malaysiapost

