KERAJAAN akan terus meningkatkan taraf hidup Keluarga Malaysia melalui pelbagai inisiatif dan program melibatkan pelaburan tempatan dan luar negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, ini kerana indikator pelaburan berkenaan jelas menunjukkan negara berada dalam landasan terbaik untuk pulih daripada krisis kesihatan dan ekonomi yang melanda sejak dua tahun lalu.
Menurutnya, semua inisiatif yang sedang dilaksanakan itu membolehkan kadar pengangguran pada Disember 2021 menurun kepada 4.2 peratus berbanding 4.3 peratus pada November 2021 berikutan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial.
“Prestasi eksport Malaysia berdaya tahan dengan nilai eksport melebihi RM100 bilion pada Disember 2021 di mana pencapaian ini mencatat rekod baharu yang mencecah RM123.8 bilion dan berkembang 29.2 peratus, tahun ke tahun.
“Manakala Dewan Perniagaan Amerika Malaysia (AMCHAM) mengesahkan firma-firma Amerika Syarikat melabur RM165.73 bilion dengan lebih 130,000 peluang pekerjaan yang telah diwujudkan di mana 90 peratus daripadanya diisi rakyat tempatan,” katanya menerusi Facebook.
Ismail Sabri turut memaklumkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) juga telah meluluskan RM109.1 bilion dalam tempoh 100 hari ketika pentadbiran beliau bagi meningkatkan pelaburan asing dalam sektor pembuatan dengan unjuran 25,000 peluang pekerjaan.
Tambahnya, selain itu, projek terbaharu yang dilaksanakan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) iaitu Kedah Rubber City (KRC) bakal menarik pelaburan kira-kira RM10 bilion dan sudah mencecah RM4,000 bilion setakat ini.
“KRC juga mewujudkan 7,000 peluang pekerjaan baharu kepada Keluarga Malaysia.
“Sementara menerusi inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia (JaminKerja) kerajaan menyediakan 600,000 peluang pekerjaan dengan peruntukan berjumlah RM4.8 bilion,” katanya. – Malaysiapost

