EMPAT helikopter Leonardo AW 139 memperkuatkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerusi kaedah sewaan dikenali Government Operate, Company Own and Maintain (GOCOM).
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata di bawah konsep GOCOM, kesemua kos menyelenggara pesawat berada di bawah tanggungjawab syarikat yang menyewakan helikopter tersebut.
“Penting untuk saya maklumkan, selain kaedah sewaan, pembelian helikopter baharu turut berada dalam perancangan masa hadapan TUDM.
“Penggantian Helikopter NURI telah dirancang untuk dilaksanakan bermula tahun 2026,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Hishammuddin menjelaskan, TUDM akan memperolehi 12 helikopter pada fasa 1 RMKe-13 (2026 hingga 2030) dan seterusnya 12 helikopter lagi akan diperoleh pada fasa 2 RMKe-14 (2031 hingga 2035).
“Seperti saya nyatakan beberapa kali sebelum ini, keperluan spesifikasi bagi helikopter baharu ini tidak akan ditentukan Kementerian Pertahanan, tetapi ‘end user’ sendiri iaitu TUDM.
“Butiran mengenainya akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Hishammuddin juga memaklumkan, kegunaan Helikopter AW 139 secara sewaan bukanlah pertama kali digunapakai kerana terdapat beberapa lagi jenis aset ATM telah dimanfaatkan menggunakan kaedah sama sebelum ini.
“Ia termasuklah Helikopter Latihan Airbus EC120B dan Flight Simulation Training Device (FSTD) Untuk Kegunaan Kursus Asas Juruterbang Helikopter TUDM.
“Lima unit Helikopter EC120B, satu unit Sistem Simulator. Sewaan Bot Op Pasir merangkumi 10 unit Fast Interceptor Boat (FIB), 10 unit Utility Boat, 10 unit Rigid Hull Fender Boat (RHFB), 10 unit Rover Fiber Glass (Rover),” katanya.
Menurut Hishammuddin, kerajaan memilih untuk menggunapakai kaedah GOCOM kerana ia pendekatan luar kotak yang amat diperlukan terutama ketika tumpuan kewangan terarah kepada usaha pemulihan negara di era pandemik ketika ini.
“Dengan kaedah GOCOM ini, tempoh masa untuk melaksanakan proses perolehan termasuk berkaitan tender serta pembinaan aset dapat dikurangkan.
“Ia membolehkan ATM menggunakan aset yang diperlukan lebih cepat. Kerajaan tidak menolak untuk terus menggunakan kaedah sama bagi memenuhi keperluan aset jangka pendek bagi ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM,” katanya. – Malaysiapost

