Isu ajaran Rasulullah: Muhaizad dipanggil JAHEAIK

0
1

PENDAKWAH, Ustaz Muhaizad Mohamed dipanggil memberi keterangan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) esok.

Ia susulan kenyataan beliau di dalam ceramah baru-baru ini menyatakan dirinya memilih untuk mengikuti jejak langkah tok guru berbanding Rasulullah SAW.

Perkara itu dimaklumkan Muhaizad menerusi hantaran di Facebook sebentar tadi, dengan melampirkan sekeping surat.

“Alhamdulillah atas setiap keadaan. Pengajian Kitab pagi Jumaat (11 Februari 2022) terpaksa dibatalkan demi memenuhi permintaan JAHEAIK dan netizen.

“Perjumpaan kali ketiga. Semoga semua asatizah yang mengajarkan masyararakat selain dari Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah akan dijemput juga oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan selepas ini,” tulisnya.

Melalui surat bertarikh 9 Februari itu, beliau diminta hadir ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah, JAHEAIK bagi memberi keterangan berkenaan isu tersebut, di bawah Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan Bil 4 Tahun 1994.

Sebelum itu, terdapat dalam kalangan ustaz menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap Muhaizad, susulan kenyataan beliau yang dianggap mengelirukan serta boleh menyelewengkan pemikiran orang Islam.

Menerusi perkongsian video di Facebook Rektor Kolej Univerisiti Islam Perlis, Prof Madya Dr Rozaimi Ramle memaparkan kenyataan Muhaizad yang berkata: “Kalau Rasulullah ikut jalan kanan, tok guru ambo ikut jalan kiri, nescaya ambo akan ikut jalan tok guru ambo daripada jalan Rasulullah.”

“Inna lillah wa inna ilaihi raji’un. Sampai begini sekali dia perlakukan Nabi sallallah alaih wasallam. Entah kenapa manusia ini masih bebas berkuliah. Majlis Agama Islam Kelantan, bangkitlah dari tidur,” tulis Dr Rozaimi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here