‘Saya memohon maaf dan sedia bertanggungjawab’ – Luqman

0
2

KETUA Penerangan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Luqman Long mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap hantaran Facebook Muda Kedah sehingga menimbulkan salah faham orang ramai.

Beliau berkata, hantaran tersebut tidak mencerminkan prinsip parti dan mengeruhkan hubungan dengan rakan pimpinan parti pembangkang.

“Saya telah menerima satu hantaran di Facebook daripada Muda Kedah pada lewat malam tadi. Posting (hantaran) ini jelas menimbulkan salah faham kepada orang ramai serta tidak mematuhi sebarang prinsip yang jelas dalam MUDA.

“Perbincangan bersama Penerangan MUDA Kedah mendapati bahawa posting ini juga tidak mendapat kebenaran dan sengaja dibuat dengan niat yang tidak baik.

“Maka, saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas insiden ini,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Justeru, beliau berkata, MUDA mengambil keputusan untuk menggantung Penerangan Muda Kedah daripada sebarang aktiviti berkaitan parti itu.

“Ini sama sekali tidak menafikan bahawa kekhilafan daripada pihak saya telah mengeruhkan hubungan baik antara Muda dan rakan-rakan pembangkang yang lain.

“Maka, saya memohon maaf atas kejadian yang tidak diingini ini dan bersedia untuk mengambil tanggungjawab sebagai Ketua Penerangan Muda dengan apa-apa keputusan dan tindakan disiplin dari Muda Nasional,” katanya.

Terdahulu tular tangkap layar di media sosial hantaran poster dengan kapsyen ‘Hentikan Korupsi’ membabitkan empat parti utama negara iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), PKR dan Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, hantaran itu sudah dipadamkan selepas menerima kecaman, kerana MUDA berkerjasama dengan PH dan PKR dalam PRN Johor. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here