Akta Anti Lompat Parti: Perjuangan belum selesai – Azalina

0
2

AHLI Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said mengucapkan tahniah kepada kerajaan kerana peka, tidak mengambil enteng serta komited dalam perjuangan menegakkan hak suara rakyat melalui Akta Anti Lompat Parti.

Beliau berkata komitmen itu terserlah susulan pertemuannya dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta Ahli-Ahli Parlimen dan Dewan Negara semalam.

Menerusi pertemuan dalam sesi libat urus Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti itu, Azalina berkata banyak input telah dikongsikan oleh kesemua yang terlibat.

“Bagaimanapun perjuangan ini masih belum selesai dan marilah sama-sama kita berusaha mewujudkan sebuah politik di negara kita yang lebih berhemah.

“Ini dapat mewujudkan lebih ramai pemimpin mempunyai prinsip,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Pada 20 Januari lalu, Wan Junaidi dilaporkan berkata kerajaan bersetuju membentang dan memuktamadkan RUU Anti Lompat Parti pada sidang Dewan Rakyat bermula 28 Februari ini.

Beliau berkata, keputusan itu dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, keputusan itu juga selaras saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu pindaan RUU berkenaan disegerakan dan dibentangkan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14 tahun 2022. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here