AHLI serta pemimpin DAP di Johor diingatkan supaya tidak terbawa-bawa dengan emosi termasuk mengadakan bantahan awam berhubung isu calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.
Merujuk kepada penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Skudai, Tan Hong Pin yang mempersoal penggugurannya sebagai calon pada PRN Johor, Pengerusi DAP negeri, Liew Chin Tong berkata tindakan tersebut mencemar nama baik DAP.
“Memandangkan DAP dan PH bersiap sedia menghadapi pertarungan sengit menjelang PRN Johor akan datang, pemimpin DAP Johor harus membimbing ahli dengan perspektif dan maklumat betul apabila ia melibatkan perbincangan mengenai calon.
“Dalam temu bual dengan Astro, Hong Pin mendakwa saya telah menggugurkan beliau daripada senarai calon parti tanpa sebab,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Chin Tong berkata apa sebenarnya berlaku, pada 28 Januari 2022, beliau dan Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan, Anthony Loke bertemu Hong Pin di ibu negara untuk menawarkannya bertanding kerusi Parlimen Labis pada PRU akan datang.
“Dahulu, apabila pilihan raya negeri dan Persekutuan diadakan serentak, adalah perkara biasa bagi parti-parti bertukar calon dari kerusi negeri ke Persekutuan dan sebaliknya.
“Sesetengah pemerhati juga menganggapnya sebagai “peningkatan” apabila seorang Adun dicadangkan ke Parlimen.
“Walaupun pilihan raya negeri dan Persekutuan kini dipisahkan, asasnya tetap sama. Hong Pin bukan digugurkan sebaliknya bersedia untuk menjadi calon bagi penyandang kerusi Parlimen DAP,” katanya lagi.
Menurut Chin Tong, Hong Pin sendiri telah menulis surat pada 5 April 2018 mengenai pertukaran kawasan pilihan raya, malah menyatakan hasrat untuk membantu pengaturan strategik parti serta akan akur keputusan pimpinan.
“Bagi saya, ini bukan tentang berpaut pada kerusi atau membina istana di satu tempat tertentu.
“Hong Pin dan saya amat tahu bahawa majoriti ahli DAP menilai pemimpin mereka dengan kesanggupan untuk memimpin dan melawan pertempuran yang sukar apabila mereka dipanggil untuk berbuat demikian.
“Oleh itu, idea bahawa penyandang perlu kekal di kerusi selamat selama-lamanya tidak kekal, dan ia bukan sebahagian budaya DAP. Saya harap kita semua akan menjelaskannya dengan baik kepada penyokong dan bukannya cuba merosakkan nama baik parti,” katanya. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook

