Tuntutan palsu: 3 direman termasuk Pegawai khas Exco Pulau Pinang

0
2

TIGA individu termasuk pegawai khas Exco Pulau Pinang direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengemukakan tuntutan palsu berkaitan satu program penjaja membabitkan nilai suapan lebih RM80,000.

Perintah reman sehingga 12 Februari itu dikeluarkan Majistret R Manomani selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan itu, pagi tadi, lapor Berita Harian.

Siasatan terhadap pegawai khas Exco berusia 42 tahun itu serta dua lagi individu dilakukan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Difahamkan, kesemua individu terbabit termasuk pembantu pegawai khas Exco dipercayai mengemukakan butiran palsu berkaitan pembekalan peralatan, membabitkan enam syarikat sedangkan program pada 2020 berkenaan tidak dilaksanakan.

Terdahulu ketiga-tiga individu termasuk seorang wanita tiba di pekarangan mahkamah pada 10.15 pagi dengan berpakaian lokap SPRM.

Sementara itu, peguam M Puveneswaran yang mewakili pegawai khas berkenaan berkata, lelaki terbabit mengaku di hadapan majistret bahawa dia masih menerima gaji sebagai pegawai khas.

Semalam, SPRM Pulau Pinang menahan enam individu dipercayai mengemukakan tuntutan palsu berkenaan.

Difahamkan, keenam-enam individu termasuk tiga lelaki berusia antara 25 hingga 50 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Pulau Pinang.

Bagaimanapun, tiga individu dilepaskan dengan jaminan SPRM dalam tempoh 24 jam.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Lim Bee Kean ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here