KONFLIK rumah tangga Shila Amzah akhirnya terlerai apabila penyanyi itu mengesahkan sudah bercerai dengan suaminya Haris Idraki Elias, semalam.
Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Amzah, 31, berkongsi berita tersebut menerusi hantaran di laman Instagram.
Katanya, dia bersyukur kerana segala urusan perceraian bersama bekas suami sudah selesai dengan baik, dan berjalan lancar.
Shila juga memuat naik gambar yang memaparkannya sedang berada di mahkamah syariah bagi urusan perceraian mereka.
“Alhamdulillah, kes Sha dan bekas suami dah selesai tadi. Kita akan berusaha jaga dan sayangi Seth sampai bila-bila. Terima kasih pada semua yang mendoakan,” tulisnya.
Dalam hantaran InstaStory, pelantun lagu Memori Tercipta itu memuat naik video memaklumkan dirinya dalam keadaan baik-baik sahaja.
“Semua orang berkahwin untuk mencari kebahagiaan, tak ada orang dalam dunia ni berkahwin untuk bercerai.
“Apa sahaja kemungkinan dan juga kemudaratan yang berlaku pada diri kita pasti ada hikmahnya. ‘So, let’s move on and do our best to build our life’ untuk menjadi yang lebih baik,” katanya.
Disember tahun lalu, Shila mengejutkan ramai apabila mendedahkan dirinya dan suami, tidak lagi tinggal sebumbung.
Penyanyi itu memaklumkan sudah memfailkan perceraian dari Haris dan dia serta anak tunggalnya sudah dua bulan tinggal di rumah kedua ibu bapanya di Kuala Langat, Selangor.
Shila dan Haris mendirikan rumah tangga pada April 2018 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Seth Uwais yang kini berusia setahun. – Malaysiapost

