Baik pulih bumbung 4 blok rumah pangsa Taman Melati disegerakan

0
2

YAYASAN Wilayah Persekutuan (YWP) akan meneruskan kerja-kerja yang terjejas bagi baikpulih bumbung empat blok rumah pangsa di Taman Melati di Kuala Lumpur yang rosak akibat angin kencang dan hujan lebat, 24 Januari lalu.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata atap-atap telah ditempah dan akan sampai ke lokasi secara berperingkat bermula minggu ini dan selewat-lewatnya minggu depan.

Beliau berkata YWP sebenarnya telah memulakan kerja membaikpulih bumbung rumah yang terlibat sehari selepas kejadian setelah mendapat arahan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Malah katanya, YWP telah menghantar barang keperluan secara berperingkat dan kerja pembaikan dimulakan serta-merta.

“Beberapa perjumpaan telah diadakan bersama penduduk yang terjejas dan YWP memaklumkan ia mengambil masa tiga minggu.

“Ini berikutan stok bahan binaan yang tiba agak lambat dan berperingkat kerana kedai-kedai atau pembekal sedang dalam cuti umum Tahun Baharu Cina.

“Namun kerja-kerja pemasangan ‘canvas’ serta ‘joining’ yang telah dibuat mengalami kerosakan kerana bumbung dibadai ribut sekali lagi pada minggu lepas,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu kejadian pada jam 3 petang 24 Januari lalu itu menjejaskan 40 unit rumah dari Blok A13, A14, A15 dan A16.

Mengulas lanjut Jalaluddin berkata, Pengerusi Gabungan NGO Flat Taman Melati yang juga Pengerusi Persatuan Penduduk Blok 4B, Abu Bakar Ismail sentiasa berkomunikasi dan berbincang dengan YWP dalam memastikan kerja baikpulih berjalan mengikut perancangan.

“Suka saya nyatakan bahawa YWP dan Jabatan Kebajikan Masyarakat telah memberi bantuan makan malam, sarapan dan tengah hari untuk 200 orang yang terlibat dari semasa ke semasa di Pusat Pemindahan Sementara disediakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sejak Isnin lalu.

“Tambahan lagi, pada 28 Januari lalu, YWP menyalurkan sumbangan tunai RM250 per keluarga kepada 46 keluarga. Saya berharap isu ini dapat diuruskan dengan sehabis baik terutama dalam menangani sentimen rakyat,” katanya.

Semalam Malaysiapost melaporkan penduduk rumah pangsa yang terlibat merayu Kementerian Wilayah Persekutuan agar mempercepat baikpulih bumbung blok yang terlibat memandangkan kejadian telah berlaku hampir tiga minggu lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here