Pembukaan sempadan negara beri kesan positif – Azmin

0
2

PEMBUKAAN semula sempadan negara akan memberi kesan positif kepada kegiatan perdagangan, perindustrian dan pelancongan negara, kata Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata kebanyakan ahli Majlis Pemulihan Negara (MPN) berpandangan pembukaan sempadan patut diteruskan.

“Ia sebagaimana dilaksanakan negara-negara lain seperti United Kingdom, dan Australia, tetapi dengan acuan kita sendiri,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Terdahulu hari ini, MPN mencadangkan supaya sempadan negara dibuka sepenuhnya tanpa keperluan kuarantin wajib mulai 1 Mac ini.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sempadan negara perlu dibuka sepenuhnya dalam masa terdekat bagi menyokong pemulihan negara.

Namun begitu, katanya, ujian Covid-19 sebelum berlepas dan sejurus tiba di pintu sempadan negara perlu dilakukan mengikut syor Kementerian Kesihatan (KKM).

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata beliau turut berkongsi mengenai perjumpaan dengan pemain industri UK dengan Ahli-ahli mesyuarat MPN.

Menurutnya, Umumnya mereka berpandangan wujud keperluan untuk kerajaan merujuk kembali tempoh kuarantin yang ditetapkan serta prosedur-prosedur bersesuaian lain bagi memudahkan akses pekerja berkemahiran tinggi ke dalam negara.

“Sudah tentu, ujian saringan Covid-19 adalah wajib lebih-lebih lagi susulan penularan varian Omicron,” katanya.

Beliau turut memaklumkan kementeriannya komited untuk terus bekerjasama dengan pihak industri dalam mewujudkan persekitaran kerja yang selamat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here