PRESIDEN Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap prosedur operasi standard (SOP) berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan dilonggarkan.
Beliau berkata, kelonggaran dari segi SOP berkempen membolehkan sistem demokrasi berjalan dengan telus dan lancar.
“Saya harapkan supaya ada kelonggaran untuk bolehkan sistem demokrasi berjalan dengan lebih telus.
“Mereka yang terlibat dalam PRN, parti mana sekalipun diberikan peluang untuk berkempen, tapi ada batas-batas tertentu… itu yang diharapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan media berkenaan SOP PRN Johor selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) di Putrajaya hari ini.
Bagaimanapun, Muhyiddin menjelaskan mesyuarat MPN hari ini tidak membangkitkan isu berkaitan PRN Johor.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas Berkaitan Urusan Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRN) Johor ke-15 esok. – Malaysiapost

