‘Tetapi di Malaysia, Najib sibuk berkempen untuk jadi PM’ – Kit Siang

0
1
Kredit: Twitter LKS

SITUASI berbeza di New York apabila seorang pegawai bank Goldman Sachs sedang menghadapi perbicaraan rasuah, tetapi di Malaysia, Datuk Seri Najib Razak berhasrat untuk kembali menjadi Perdana Menteri.

Perkara itu diluahkan Veteran DAP, Lim Kit Siang yang mendakwa individu yang paling bertanggungjawab terhadap skandal 1MDB, kini sibuk berkempen untuk kembali sebagai Perdana Menteri ke-10 atau ke-11.

“Roger Ng, bekas ketua pegawai bank Goldman di Malaysia, mengaku tidak bersalah kerana membantu melakukan pengubahan wang haram bernilai ratusan juta dolar yang dirompak daripada dana kekayaan negara 1MDB dan merasuah pegawai di Malaysia untuk mendapatkan peluang perniagaan.

“Dia didakwa atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang anti-rasuah. Pemilihan juri bermula semalam dalam perbicaraan rasuah di Amerika Syarikat (AS),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Kit Siang, beliau terjumpa komen bekas Perdana Menteri Britain, Gordon Brown, dalam buku ‘The Wolf Catcher’ – membandingkan dua ‘kes terkenal salah laku di peringkat tertinggi’ iaitu 1MDB Malaysia dan Petrobras Brazil.

“Gordon Brown berkata: “Tetapi kecurian 1MDB – dengan skop dan skala globalnya, dan kejatuhan geo-politiknya – memberi kesan lebih mendalam berbanding skandal syarikat minyak yang telah melanda Brazil.”

“Malaysia akan mengalami keburukan berganda jika protagonis utama dalam skandal 1MDB boleh kembali menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-10 atau ke-11,” katanya.

Jelas Kit Siang lagi, skandal 1MDB adalah kegagalan terbesar agensi antirasuah negara dan kini Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki pula terpalit dengan krisis keyakinan terbesar untuk mengetuai suruhanjaya itu.

Katanya, Azam gagal menjadi contoh integriti, kejujuran dan akauntabiliti serta tidak dapat menjelaskan dakwaan konflik kepentingan terhadapnya.

“Adakah Perdana Menteri (Datuk Seri) Ismail Sabri terlalu lemah sehingga tidak dapat meminta Azam Baki bercuti sehingga Azam membersihkan namanya daripada tuduhan yang serius itu?,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here