
SEORANG pelajar terpaksa menjalani pembedahan baru-baru ini untuk membetulkan tulang belakangnya yang bengkok 40 darjah, masalah yang dikaitkan dengan kebiasaan menggalas beg sekolah yang berat saban tahun.
Bapa Nurul Hanim Fazwin, 17, Dr Mohd Zaqrul Razmal Mohd Podzi yang juga seorang pakar kanak-kanak, yakin rutin menggalas beg sekolah yang berat selama bertahun-tahun bukan sahaja memberi kesan kepada anaknya, tetapi juga ramai pelajar sekolah di seluruh negara.
Susulan pembedahan itu, Nurul Hanim yang aktif bersukan sebelum ini, terpaksa menjalani kuarantin dalam ‘bilik sejuk’ di rumahnya, lapor Free Malaysia Today.
Remaja itu tidak boleh berpeluh sama sekali dan terpaksa menghuni bilik bersuhu 16 darjah Celsius siang dan malam selama 21 hari.
Menurut Nurul Hanim Fazwin, dia akan menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) hujung tahun ini, namun masa depan persekolahannya masih samar.
Walaupun sudah menyerahkan surat doktor kepada sekolah, ayahnya masih menunggu kelulusan guru besar untuk memastikan kelas anaknya dipindahkan ke tingkat paling bawah.
Ketika ditemu bual, Mohd Zaqrul Razmal akur kajian dan penyelidikan sebelum ini tidak menghasilkan bukti konklusif bahawa isu menggalas beg berat satu-satunya faktor yang menyumbang kepada masalah tulang belakang dan pertumbuhan kanak-kanak dan remaja seperti anaknya.
Beliau juga tidak mahu menutup mata terhadap keadaan yang dilihatnya di wad kanak-kanak Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
“Bila saya pergi PPUM, sebenarnya lagi dasyat-dasyat kes. Seawal usia 14 tahun, (sudah) 55 darjah (tulang bengkok). Banyak budak-budak yang mula menderita,” katanya.
Katanya, beliau cuba mencetuskan kesedaran awam yang lebih meluas mengenai isu beg berat, iaitu sebagai ayah yang terkesan dan seorang pakar kanak-kanak berpengalaman.
Beliau memuat naik gambar sinar-x tulang belakang anaknya yang “rosak” di laman sosial Facebook. Ketika itu, beliau menyatakan “beg sekolah berat” antara faktor di sebalik keadaan Hanim.
Hantaran itu mengundang reaksi bertali arus ibu bapa yang turut berkongsi pengalaman anak-anak mereka, termasuk yang hanya berumur tujuh tahun tetapi terpaksa menggalas beg sekolah seberat hingga enam kg.
Bapa kepada 11 anak itu memberitahu, walaupun isu beg sekolah berat bukan perkara baharu, ia masih gagal ditangani dengan tuntas oleh pihak berwajib.
“Zaman ke zaman…beg lagi berat. Satu subjek ada buku teks, buku tulis, buku latihan. Ada yang disarankan KPM dan ada juga buku yg disarankan guru sebab guru tak bersetuju dengan KPM. (Akhirnya) satu subjek (ada) empat buku,” ujarnya.
Beliau menegaskan, isu beg sekolah berat perlu dijadikan polemik kebangsaan kerana percaya semakin ramai kanak-kanak bakal mengalami masalah sakit belakang jika ia tidak diselesaikan secara berkesan. – Malaysiapost
