Keluarga Malaysia main peranan bentuk komuniti digital harmoni – PM

0
2

KELUARGA Malaysia perlu memainkan peranan membentuk sahsiah dan kawal kendiri bagi mengukuhkan kesepaduan dalam ekosistem siber.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata mengawal aktiviti menerusi medium digital boleh mengelak daripada ancaman dan jenayah siber yang kian meningkat ketika ini.

“Ketika negara dilanda pandemik Covid-19, kebanyakkan ahli Keluarga Malaysia telah beralih ke arah penggunaan teknologi digital dalam setiap aspek kehidupan mereka.

“Keadaan ini menyebabkan berlakunya transformasi pada pola komunikasi dan sosial, norma baharu. Namun, situasi ini telah menyebabkan kebanyakan kita alpa dalam menjaga adab dan etika walaupun dalam dunia siber,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Ismail Sabri berkata, sempena sambutan Hari Keselamatan Internet 2022- Edisi Malaysia yang bertemakan K.I.T.A Siber, beliau menyeru Keluarga Malaysia terus mengamalkan sikap kebertanggungjawaban ke atas diri sendiri dan orang lain.

Menurutnya, orang ramai perlu mengamalkan kaedah komunikasi, mengambil kira Inklusif dan tanggungjawab di samping meningkatkan keakraban bagi membentuk komuniti digital yang harmoni.

“Selamat Hari Keselamatan Internet 2022. Sentiasa Bijak, Sentiasa Selamat. Bersama-sama ke Arah Kesejahteraan Siber,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here