4 pelajar USIM cedera, bas terbabas

0
2

EMPAT pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) cedera selepas bas persiaran dinaiki terbabas dan melanggar sebatang pokok di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan, pagi tadi.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Pegawai Bomba Kanan II, Raihan Che Mat, berkata, pihaknya mendapat panggilan kejadian pada jam 7.41 pagi, sebelum tiba di lokasi kejadian lapan minit kemudian.

Beliau berkata, bas berkenaan membawa seramai 17 orang pelajar dan dalam perjalanan ke USIM.

“Setibanya di lokasi kejadian, kami menerima laporan mengenai tumpahan minyak di atas jalan raya berhadapan restoran makanan segera, Bandar Baru Nilai. Bas berkenaan dipercayai terbabas dan melanggar sebatang pokok kemungkinan akibat tumpahan minyak berkenaan.

“Empat orang pelajar cedera di tangan, pergelangan tangan dan ada yang cedera di bahagian tulang belakang,” katanya.

Beliau berkata, semua pelajar terbabit dihantar menggunakan ambulans unit bantuan perkhidmatan kecemasan (EMRS) dan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban. – Malaysiapost

Foto kredit: Utusan Malaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here