PRN Johor: BN sangkal tuduhan jaga ‘poket’ pemimpin

0
2
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Ahmad Maslan

BARISAN Nasional (BN) menolak dakwaan yang menuduh parti itu sengaja mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor demi kepentingan ‘poket’ pemimpin parti itu.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Ahmad Maslan, berkata ia adalah satu tuduhan yang melampau dan tidak bertanggungjawab.

Malah, beliau menyifatkan tohmahan dibuat Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan tidak seharusnya dikeluarkan oleh mana-mana pemimpin politik negara.

“Kalau begitu, saya pun boleh cakap Bersatu sebagai Parti Pelompat Bersatu Malaysian kerana daripada 31 kerusi yang dimiliki parti itu, hanya enam dari parti asal mereka.

“Sementara 10 daripadanya mengikut jejak Datuk Seri Azmin Ali dan 15 lagi melompat daripada Umno.

“Sekiranya mereka benar sebuah parti yang berprinsip, mereka tidak akan terima Ahli Parlimen yang melompat dari pelbagai negeri menyertai Bersatu,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Jamuan Muhibah Tahun Baharu Cina bersama Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, malam tadi.

Mengulas lanjut, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, realiti sebenar politik di negeri ini adalah Berssatu dan PAS tidak mempunyai hubungan yang baik.

Katanya, Bersatu perlu sedar PRN ini diadakan bukanlah untuk melihat siapa yang gagal dan siapa yang berjaya tetapi mewujudkan kerajaan yang stabil.

“Hubungan antara Umno dan Bersatu berada pada tahap sukar sebab mereka antara punca BN kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ketika mereka bersama Pakatan Harapan (PH) ketika itu.

“Saya harap kita tidak mudah lupa tentang itu,” katanya.

Terdahulu, Wan Saiful melabel Hasni sebagai Menteri Besar yang gagal mengemudi kerajaan negeri yang mempunyai satu kerusi majoriti sahaja hingga memilih untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Wan Saiful berkata, kenyataan Hasni bahawa kerajaan Johor tidak stabil, adalah pengakuan Menteri Besar, bahawa beliau gagal mentadbir dan gagal mengemudi kerajaan negeri.

“Yang sebenarnya tidak stabil itu adalah poket-poket dan akaun-akaun bank pemimpin Umno yang tidak dapat merompak dengan bebas kerana kewujudan Exco dari PN yang menjadi semak imbang dalam pentadbiran,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here