BERSATU menolak alasan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohamad bahawa kerajaan negeri tidak stabil kerana hanya ada majoriti satu kerusi sahaja.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata kerajaan PAS Kelantan pada tahun 2004 menang dengan majoriti dua kerusi dan ia menjadi satu apabila seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) meninggal dunia.
“Kerajaan itu kekal stabil sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2008. Maksudnya jika pandai mentadbir maka ia tiada masalah.
“Apabila Hasni menyatakan kerajaan beliau yang juga ada satu kerusi majoriti tidak stabil, itu adalah pengakuan bahawa dia gagal mentadbir dan mengemudi kerajaan negeri. Dia yang tidak mampu memimpin, bukan kerajaan tidak stabil.
“Yang sebenarnya tidak stabil itu adalah poket-poket dan akaun-akaun bank pemimpin Umno yang tidak dapat merompak dengan bebas kerana kewujudan EXCO dari Perikatan Nasional (PN) yang menjadi semak imbang dalam pentadbiran,” katanya.
Sebelum ini Hasni dilaporkan berkata beliau tidak mahu kerajaan negeri pimpinannya terus bergerak atas ihsan pembangkang, seperti yang terjadi sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
Adun Benut itu berkata, sebagai contoh beberapa rundingan dalam DUN tidak dapat berjalan kerana majoriti tipis satu kerusi, serta faktor Speaker DUN merupakan parti pihak lawan.
Atas sebab itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor itu berkata, beliau perlu mendapatkan mandat baharu untuk memastikan Umno dan Barisan Nasional (BN) dapat mentadbir negeri dengan stabil. – Malaysiapost

