KERAJAAN sangat menggalak serta mengalukan-alukan pihak majikan untuk meneruskan amalan bekerja dari rumah atau melaksanakan sistem penggiliran ke pejabat untuk sementara waktu.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata nasihat tersebut antara lain bertujuan memastikan persekitaran selamat sekali gus mengekang penularan gelombang Omicron di Malaysia.
“Walaupun kita yakin dengan vaksinasi, tetapi ini antara usaha utk kita mengawal (gelombang Omicron),” katanya dalam sidang media hari ini.
Khairy turut meminta pihak majikan supaya membantu pekerja menyediakan kit ujian kendiri bagi membolehkan mereka melakukan ujian Covid-19 secara berkala.
Beliau juga berharap pihak majikan dapat menyediakan pelitup muka berkualiti tinggi kepada pekerja mereka.
“Saya juga merayu kepada syarikat untuk dapatkan insentif dari Kementerian Kewangan untuk ubahsuai sistem pengudaraan di pejabat,” katanya. – Malaysiapost

