PIMPINAN Perikatan Nasional (PN) buat ‘peel’ merepek mengaitkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dengan pendakwaan politik dikenakan terhadap pimpinan Umno, kata Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Ia suatu hujah lemah, memesongkan dan mengelat oleh pihak yang barangkali ‘beno-beno’ sedang terdesak selepas cabaran mereka supaya ‘tekan butang’ jadi kenyataan.
“Juga suatu hujah seolah-olah memperlekeh kebijaksanaan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam menentukan apa yang terbaik untuk rakyat dan negeri jajahan takluk Johor.
“‘Bior’ kita perjelaskan sekali lagi kepada mereka bahawa Bangsa Johor memerlukan mandat baharu demi memastikan kestabilan politik yang kukuh di negeri itu,” katanya menerusi Facebook.
Tegas Ahmad Zahid, ia bukan perkara ‘olok-olok’, dengan kerajaan negeri hanya memiliki kelebihan satu kerusi dan Johor berisiko tinggi berdepan kekalutan politik pada bila-bila masa.
“Tentunya Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad serta Umno Johor mempunyai pertimbangan rasional dan telah pun menerangkannya kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.
“Seperti disebut Datuk Hasni kepada umum baru-baru ini iaitu Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu diadakan bagi mendapatkan semula mandat daripada rakyat negeri itu.
“Menurut beliau, keadaan kerajaan negeri disifatkan bergerak atas ihsan pembangkang bukan sesuatu perkara yang patut berlaku.
“Justeru, pimpinan PN tidak sepatutnya ‘dan-dan’ bersikap ‘selenge’ dan ‘mentel’ sangat tentang hal tersebut sedangkan mereka memahami realiti ketidakstabilan politik yang sedang berlaku,” katanya.
Tambahnya, PN juga membuat tuduhan mengarut untuk ‘kelentong’ Bangsa Johor sekali lagi sedangkan rakyat Johor masih ingat pembohongan mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Jelasnya, PRN Johor tidak beri kesan kepada mahkamah sebaliknya memberi kesan kepada yang pernah tipu rakyat dan mengkhianati undi rakyat dengan melompat parti selepas 9 Mei 2018.
“Ayuh Bangsa Johor kali ini kita kasi ‘jotos’ parti politik yang pernah berbohong kerana ‘lapo-kan’ kuasa sehingga sanggup memperdayakan rakyat Malaysia dengan fitnah dan tipu daya,” katanya. – Malaysiapost

