Lelaki ditahan bawa dadah 15kg

0
2

SEORANG lelaki ditahan bersama 15 kilogram (kg) dadah bernilai lebih RM600,000 di Lapangan Terbang Lahad Datu, Sabah, pada 13 September lalu.

Suspek berusia 25 tahun itu dikatakan menaiki penerbangan komersial dari Kuala Lumpur dan tiba di Kota Kinabalu, sebelum meneruskan perjalanan ke Lahad Datu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Abdullah Jaapar, berkata penahanan lelaki itu dibuat susulan risikan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berdasarkan analisa senarai data penerbangan.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas bagasi dibawa suspek menjumpai 15 bungkusan dadah jenis methamphetamine.

“Rampasan dibuat bukan melalui mesin pengimbas, sebaliknya melalui risikan dan analisa data yang dijalankan pegawai penguatkuasa kita.

“Suspek kini direman dan kita akan dakwa di Mahkamah Lahad Datu, Jumaat ini,” katanya dalam sidang media di Sandakan hari ini.

Beliau berkata, ia antara kes ketiga terbesar di Sabah selepas rampasan di Tawau dan Sandakan, tahun ini.

“Dadah terbabit dipercayai untuk pasaran tempatan dan kita masih membuat siasatan lanjut mengenal pasti sumber dadah itu diperoleh,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Abdullah berkata, sepanjang Januari hingga Ogos tahun ini, pihaknya berjaya merampas 82.87kg syabu bernilai lebih RM3.5 juta dan 26.4kg ganja berjumlah RM547,898.

Selain itu, katanya, JKDM Sabah turut merampas dadah jenis ketamin, biji ganja dan daun ketum dianggarkan bernilai RM43,360 dengan 10 tertuduh sudah didakwa ke mahkamah.

“Kita turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan penyeludupan dadah tampil membantu pasukan penguatkuasa,” katanya. -Malaysiapost