Yayasan Bank Rakyat sumbang RM10,000 untuk murid B40 di PPR Jelatek

0
2

SERAMAI 100 murid dari keluarga B40 di Projek Perumahan Rakyat Jelatek, Kuala Lumpur menerima bantuan wang tunai RM100 sumbangan Yayasan Bank Rakyat (YBR).

Sumbangan yang keseluruhannya berjumlah RM10,000 itu disampaikan Pengerusi YBR, Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin kepada Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Jalan Jelatek, Mohd Isa Bakar dalam satu majlis hari ini.

Turut hadir Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampung Baru, Datuk Affendi Zahari dan Pengurus Jabatan Program YBR, Mohd Mukhti Abd Rahman.

Megat Zulkarnain berkata, sumbangan itu diharapkan dapat meringankan urusan kewangan keluarga terbabit dalam menyediakan kelengkapan persekolahan seperti baju, kasut dan stoking atau beg sekolah mengikut kesesuaian masing-masing.

“Bantuan kepada mereka yang layak ini sedikit sebanyak dapat memberi suntikan semangat kepada anak-anak untuk terus menuntut ilmu serta sebagai tanda ikhlas YBR dalam membantu golongan memerlukan meneruskan kehidupan,”katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sehingga kini, seramai 39,397 murid telah menerima manfaat melalui bantuan persekolahan YBR dengan jumlah peruntukkan RM5.12 juta sejak 2018.

Megat Zulkarnain turut menziarahi salah seorang penduduk di sini, Asiah Ahmad,56, yang baru sahaja kematian suami akibat kanser paru-paru tahap 4 pada 18 Januari yang lalu.

Allayarham Hasmizi Abu Hashim merupakan Exco Biro Ekonomi bagi Persatuan Penduduk Jalan Jelatek dan Asiah kini tinggal bersama 3 orang anaknya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here