SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia akan menyiasat dakwaan isu integriti membabitkan beberapa pegawai kanan di Mara Corporation iaitu anak syarikat Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Agensi itu berkata pihaknya telah menerima aduan berkaitan isu berkenaan dan akan memulakan siasatan Isnin ini dengan mengambil keterangan beberapa saksi di syarikat terbabit.
“Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang berkaitan dengan kesalahan mana-mana pegawai badan awam yang menggunakan jawatan atau kedudukannya untuk mendapatkan suapan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Jumaat lalu, Pengerusi MARA, Datuk Seri Azizah Mohd Dun mengesahkan pihaknya telah memulakan siasatan di Mara Corporation bagi meneliti dokumen berkaitan untuk memastikan pengurusan syarikat sentiasa berlandaskan tadbir urus yang baik.
Beliau dilaporkan berkata, pihaknya memandang serius terhadap kejadian penyebaran dokumen pentadbiran dalaman kepada pihak awam yang menimbulkan persepsi negatif terhadap Mara dan anak syarikat berkaitan.
Jelasnya, keseluruhan anak syarikat Mara dikawal selia mengikut Akta Syarikat 2016 dan sentiasa mengutamakan amalan integriti yang tinggi dalam organisasi.
Azizah juga menafikan wujud salah guna kuasa atau salah urus tadbir susulan dokumen dalaman anak syarikatnya tular dalam media sosial yang mendakwa wujud isu integriti membabitkan beberapa pegawainya.-Malaysiapost

