Syed Saddiq mohon maaf lepas tuduh wakil rakyat PKR tidak buat kerja

0
2

PRESIDEN Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Syed Saddiq Abdul Rahman memohon maaf kepada PKR susulan hantaran di Facebook yang seolah-olah ‘menyerang’ seorang wakil rakyat parti itu di Johor.

Ahli Parlimen Muar berkenaan mengakui kesilapannya membuat hantaran berhubung lawatannya ke Ulu Tiram yang telah merendahkan tugas dan tanggungjawab Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu, S Gopalakrishnan.

“Sesi melawat dan bertemu rakyat di Ulu Tiram adalah satu proses untuk saya dan MUDA belajar lebih banyak soal menjaga rakyat.

“Atas semangat kebersamaan bersama rakan KEADILAN, saya memohon maaf atas kekhilafan yang dibuat,” katanya di Facebook.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu turut mengakui tugasnya sebagai wakil rakyat di Parlimen Muar juga belum sempurna dan banyak lagi tanggungjawab perlu dilunaskan.

“Teruskan menegur kerja dan ucapan saya. Yang baik itu datang dari yang Maha Esa. Yang khilaf itu saya,” jelasnya.

Terdahulu dalam hantaran di Facebook, Syed Saddiq seolah-olah menyerang dan membidas Gopalakrishnan yang didakwa tidak mengambil peduli kebajikan rakyat di DUN Ulu Tiram.

“Komuniti India di Ulu Tiram mengadu, pimpinan di sini tak ambil endah kebajikan rakyat. Dipilih oleh rakyat, dapat peruntukan tapi amanah rakyat dibuang.

“Bantuan yang sepatutnya rakyat dapat, tak sampai. Tak bertanggungjawab.

“Rakyat di Ulu Tiram dah muak. Nak perubahan, nak pimpinan yang berkhidmat untuk rakyat,” katanya.

MUDA dijangka bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here