Pelajar pulang Tahun Baharu Cina tak dibenar kembali ke asrama

0
3

PELAJAR bukan kelas peperiksaan yang pulang bercuti sempena Tahun Baharu Cina tidak dibenar kembali ke asrama, sebaliknya hanya perlu mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata kementeriannya membuat ketetapan itu sebagai usaha mengawal jangkitan Covid-19 serta melindungi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Kita ingin memastikan anak-anak kita yang bakal menduduki SPM pada Februari dan Mac ini berada dalam keadaan terlindung dan mereka dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan selamat dan teratur.

“Kita akan terus pastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah berasrama khususnya, dapat terus ditingkatkan.

“Pada masa sama, kami juga meningkatkan pemantauan di sekolah-sekolah di bawah KPM bagi memastikan segala SOP dipatuhi dengan baik dan dapat mengurangkan risiko jangkitan di sekolah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, secara umum sesi persekolahan tahun 2021/2022 bagi penggal ketiga yang bermula 9 Januari lalu berjalan dengan teratur dan lancar.

Bagaimanapun, katanya mutakhir ini, ramai yang membincangkan mengenai peningkatan kes Covid-19 dalam sektor pendidikan.

“Berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM) dari 1 Januari hingga 1 Februari 2022, terdapat 118,238 kes Covid-19 di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, 8,451 kes atau 7.15% adalah berkaitan sektor pendidikan,” katanya.

Dalam tempoh sama, Radzi berkata, terdapat 303 kluster di seluruh negara dan daripada jumlah itu, 100 (33%) kluster melibatkan institusi pendidikan di bawah KPM, 86 (28.38%) institusi pendidikan lain dan 117 (38.62%) sektor lain.

Menurutnya, daripada 100 kluster yang melibatkan keseluruhannya 5,494 kes, 96 kluster melibatkan institusi bawah KPM sementara empat kluster institusi swasta berdaftar dengan KPM.

“Daripada 96 itu, 84 melibatkan institusi berasrama iaitu 76 asrama harian dan lapan berasrama sepenuhnya.

“Jika kita ambil kira keseluruhan 1,918 institusi berasrama bawah KPM, 84 kluster ini adalah bersamaan 4.38%.

“Untuk yang bukan berasarama, terdapat 12 kluster dan daripada 12 ini, dua sekolah menengah, selebihnya sekolah rendah.

“Dua belas kluster ini, jika dibandingkan dengan keseluruhan 8,356 institusi bukan asrama bawah KPM, jumlah kluster adalah sama dengan 0.14%,” katanya.

Tambahnya, data tersebut jelas menunjukkan sebahagian besar kluster yang melibatkan institusi di bawah KPM berlaku di sekolah asrama, iaitu 87.5 peratus.

Katanya, untuk minggu akan datang bermula Isnin, sekiranya anak-anak bergejala, ibu bapa perlu memastikan mereka tidak datang ke sekolah.

“Ini penting supaya persekitaran persekolahan akan terus berada dalam keadaan selamat dan risiko jangkitan dapat dikurangkan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here