SEORANG lelaki berusia 54 tahun ditemui meninggal dunia dalam keadaan terbaring di ruang solat Masjid Nurul Hasanah Bukit Kechil Simpor, Tikam Batu, Sungai Petani, semalam.
Saksi kejadian yang juga kakitangan masjid memaklumkan, mangsa sedang membaca al-Quran sebelum dilihat terbaring tidak sedarkan diri.
Kakitangan masjid terbabit kemudian memaklumkan kepada abang ipar mangsa sebelum pemeriksaan mendapati dia sudah tidak bernyawa, lapor Harian Metro.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata abang ipar mangsa kemudian menghubungi ambulans sebelum pegawai kesihatan yang melakukan pemeriksaan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.
“Anggota Balai Polis Tikam Batu yang menerima laporan jam 9.50 pagi bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati jenazah berada atas lantai ruang solat masjid.
“Saksi memberitahu arwah sebelum itu duduk di belakang sambil membaca al-Quran selepas selesai solat Subuh,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun menurut Adzli, saksi mendakwa arwah dilihat terbaring dan tidak sedarkan diri tidak lama kemudian sebelum dia memaklumkan kejadian itu kepada ahli keluarga mangsa.
“Hasil temubual dan siasatan lanjut, isteri arwah memberitahu suaminya mempunyai penyakit darah tinggi namun tidak menjalani rawatan di hospital dan hanya makan ubat yang dibeli di farmasi.
“Pemeriksaan mendapati tiada kesan luka atau lebam serta sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut,” katanya.
Beliau berkata, mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk bedah siasat yang akan dijalankan selepas keputusan ujian saringan Covid-19 diperoleh. – Malaysiapost

