Poster Ozil berdoa di Masjid Ubudiah, netizen ucap selamat datang ke Perak FC

0
3

MEDIA sosial seantero Malaysia heboh semalam selepas bekas pemain Arsenal dan Jerman, Mesut Ozil memuatnaik poster tertera gambar beliau sedang berdoa di hadapan Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar.

Menerusi hantaran di Facebook rasminya yang memuji kebesaran Allah SWT, Ozil, 33, turut menandakan Kuala Kangsar sebagai lokasi hantaran tersebut dimuatnaik.

Susulan itu netizen dari Malaysia membuat pelbagai andaian dan spekulasi mengaitkan hantaran tersebut sebagai ‘hint’ daripada pemenang Piala Dunia 2014 itu yang bakal beraksi bersama skuad Perak FC dalam saingan Liga Premier musim ini.

Rata-rata komen dari netizen Malaysia teruja dengan hantaran bergambar tersebut, termasuk ada yang mengucapkan selamat datang ke Perak FC buat Ozil.

Malah ada komen mempertikaikan bagaimana pengurusan Perak FC mahu mendapatkan dana untuk membayar gajinya.

Ozil yang beragama Islam kini mewakili kelab Super Lig Turki, Fenerbahçe setelah meninggalkan Arsenal.

Bagaimanapun semakan di Facebooknya yang mempunyai 37 juta pengikut itu mendapati menjadi kebiasaan bagi Ozil untuk memuatnaik poster bergambar berlatar belakang masjid di media sosial tersebut.

Sebelum ini Ozil pernah memuatnaik poster berdoa di hadapan Masjidil Aqsa, Masjidil Haram selain masjid-masjid lain di seluruh dunia.

Maka boleh disimpulkan poster Ozil berdoa di hadapan Masjid Ubudiah kemungkinan besar tiada kena mengena dengan Perak FC. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here