MALAYSIA dan Singapura sepakat untuk mengadakan kerjasama strategik bagi menatijahkan pemerkasaan institusi pendidikan, fatwa serta perkara-perkara lain demi mengangkat martabat agama Islam.
Perkara itu dizahirkan dalam pertemuan antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad serta Menteri Sosial dan Pembangunan Keluarga merangkap Menteri Hal Ehwal Agama Singapura, Masagos Zulkifli di Putrajaya semalam.
Idris berkata dalam pertemuan itu Masagos berkongsi usaha murni kerajaan Singapura dalam pembangunan Islam.
“Seiring dengan Malaysia, agenda pemerkasaan institusi keluarga menjadi perkara utama dalam membina negara yang kukuh.
“Beliau kongsikan kempen tahunan di Singapura dalam memperkukuhkan institusi kekeluargaan.
“Saya juga memaklumkan sebentar tadi (semalam) kami baru sahaja melancarkan kempen penghayatan solat yang bertujuan melahirkan keluarga, masyarakat dan negara sejahtera,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Idris turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada Masagos dan rombongan kerana sudi berkunjung ke Malaysia.
“Semoga Allah merahmati kita dan mengukuhkan hubungan antara Malaysia dan Singapura yang telah lama terjalin,” katanya. – Malaysiapost

