UNIT Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) akan menjalankan siasatan berkenaan kes kematian tahan Orang Kena Tahan (OKT) di lokap Balai Polis Pandamaran, Klang semalam.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad, berkata tahanan terbabit merupakan seorang lelaki berusia 35 tahun ditangkap dan disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Orang Kena Tahan (okt) tersebut telah direman selama tiga (3) hari mulai 2 hingga 5 februari 2022 di lokap Balai Polis Pandamaran, Klang, Selangor.
“Pada 3 Februari 2022 jam lebih kurang 6.50 pagi, OKT berkenaan telah ditemui tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azri berkata, pegawai perubatan Hospital Tuanku Ampuan Rahimah, Klang yang tiba pada jam 7.30 pagi telah membuat pemeriksaan dan mendapati OKT tersebut telah meninggal dunia.
Menurutnya, punca kematian OKT terbabit belum diketahui.
“Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Bukit Aman akan menjalankan siasatan berkaitan kes tersebut,” katanya. – Malaysiapost

