Perbincangan Muda dengan PH lancar – Syed Saddiq

0
2
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

PERBINCANGAN antara Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dengan Pakatan Harapan (PH) bagi mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berjalan dengan lancar, kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Bagaimanapun, Presiden Muda itu enggan mengulas lanjut mengenai hasil perbincangan itu serta jumlah kerusi yang akan ditandingi oleh Muda dalam PRN Johor kali ke-15 itu.

Katanya, perincian lanjut mengenai perbincangan itu akan diumumkan secara bersama parti komponen dalam PH sekiranya mencapai kata sepakat apabila tiba masanya.

“Apabila kita sertai pilihan raya, untuk kita berjaya membawa pembaharuan yang menyeluruh, penting untuk kita kurangkan musuh dan banyakkan kawan khususnya kawan yang percaya bersama ingin membawa politik pembaharuan. Proses rundingan sedang berjalan dalam tempoh yang agak baik. Cuma perinciannya lebih baik diumumkan bersekali.

“Fokus Muda sekarang ini bukan sekadar rundingan kerusi yang akan ditandingi. Sebab itu, kita buat Kempen Jelajah Mendengar dengan menyasarkan kira-kira satu juta orang dalam tempoh dua ke tiga minggu supaya dapat merangka dasar yang menyeluruh,” katanya memetik Utusan Online.

Baru-baru ini, Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar, berkata PH yang merupakan gabungan Amanah, PKR dan DAP terbuka berbincang dengan mana-mana parti untuk bekerjasama menghadapi pilihan raya di negeri tersebut.

Pada 29 Januari lalu, media melaporkan Syed Saddiq mengesahkan parti itu akan bertanding pada PRN Johor yang menjadi negeri pertama buat parti tersebut meletakkan calon.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq memberitahu, pihaknya tidak boleh membuat kenyataan terbuka berkenaan perbincangan tersebut sebelum rundingan berjaya dicapai.

“Berjaya atau gagal, kita tetap akan maklumkan perkara itu. Fokus utama Muda ialah bukanlah sekadar politik percaturan kerusi sebaliknya berkhidmat dahulu kepada rakyat, cadangkan pembaharuan dan jalan penyelesaian.

“Jika kita ada sokongan rakyat, kawan-kawan parti politik lain pun akan tahu dan akui kedudukan kita. Tak guna rebut kerusi tapi khidmat kepada rakyat terabai,” jelasnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here