Pelan Penyelesaian Banjir tumpu kawasan berisko tinggi – PM

0
2

KERAJAAN akan memberi fokus terhadap kawasan berisiko tinggi sebagai keutamaan untuk pelaksanaan pelan penyelesaian masalah banjir di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ini kerana penyelesaian secara komprehensif terhadap isu banjir memerlukan peruntukan besar melibatkan ratusan bilion ringgit serta memakan masa panjang.

Justeru, katanya, kerajaan bersetuju menggariskan lapan langkah strategik menambahbaikan pengurusan bencana negara yang dibentangkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Ia membabitkan Pemerkasaan Dasar, Perundangan dan Mekanisme Berkaitan Pengurusan Bencana & Pengurangan Risiko Bencana (DRR),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) secara telesidang bagi membincangkan secara terperinci situasi dan penilaian awal After Action Review (AAR) Monsun Timur Laut (MTL) 2021/2022.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, mesyuarat secara dasarnya turut bersetuju dengan cadangan jangka pendek dan panjang dikemukakan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) untuk menyelesaikan masalah banjir.

Katanya, ia termasuk membina terowong SMART terutama di bandar yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi seperti di Shah Alam.

“Membangunkan kawasan penempatan berdaya tahan seperti ‘sponge city’ di China, mewujudkan takungan air atau ‘kota takungan pinggir sungai’ seperti di Belanda.

“Pemindahan kawasan kampung di tepi sungai yang berisko banjir ke kawasan yang lebih tinggi, mewujudkan Pusat Ramalan Cuaca Numerikal Kebangsaan.

“Meningkatkan sistem siren dan amaran berkaitan banjir di pusat JPS, selain pemantauan bencana banjir menerusi kamera litar tertutup (CCTV),” katanya.

Ismail Sabri berkata, kerajaan juga akan mempertimbangkan pembangunan sistem ramalan dan amaran banjir berasaskan kecerdasan buatan (artificial Intelligence) serta sistem amaran awal banjir lumpur.

Katanya, usaha menaik taraf 100 stesen pencerapan cuaca permukaan automatik sedia ada yang telah usang juga akan dilaksanakan.

“Selain mengawal penebangan hutan serta kelulusan pelan perancangan bandar hendaklah mengambil kira tentang risiko banjir,” katanya.

Beliau berkata, masalah itu harus diselesaikan secara tuntas kerana kerajaan tidak mahu lagi melihat bencana banjir menjejaskan kesejahteraan hidup rakyat.

“Kementerian dan Agensi juga turut disaran membuat penetapan sebanyak lima peratus daripada perbelanjaan mengurus dan pembangunan bagi tujuan pengurusan bencana pada masa akan datang.

“Ini penting bagi persiapan perbelanjaan persediaan bencana, pemulihan dan pasca bencana serta pencegahan dan mitigasi risiko bencana,” katanya.

Perdana Menteri berkata, ‘whole of society approach’ perlu diterjemahkan dalam dasar, pengoperasian dan latih amal bencana dengan penglibatan bersama agensi kerajaan dan Organisasi Masyarakat Sivil (CSO).

“Pemerkasaan kapasiti komuniti setempat akan dipertingkatkan melalui ketua komuniti yang akan bertindak sebagai initial responder.

“Mereka akan dibekalkan dengan kelengkapan asas dan bantuan untuk melaksanakan tindakan awal,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here