Tun M hilang kepercayaan rakyat

0
2

BEKAS Naib Presiden Parti Amanah, Datuk Husam Musa menafikan beliau menganggap Tun Dr Mahathir Mohamad sudah tidak relevan untuk menerajui negara.

Husam sebaliknya menegaskan bahawa Ahli Parlimen Langkawi itu sudah hilang kepercayaan rakyat untuk menjadi Perdana Menteri sekali lagi.

“Saya tak pernah kata dia tak relevan, itu dibuat tajuk oleh orang lain. Saya kata Tun telah hilang kepercayaan, bukan tak relevan. Rakyat hilang kepercayaan.

“Saya tak nak besarkan, nanti orang kata Husam bergaduh dengan Tun. Kita kena kenang jasa Tun, kalau kita jadi kerajaan kita boleh angkat beliau sebagai tokoh negara, itu melebihi ikon parti, sekarang Tun jadi ikon parti.

“Kalau kita letakkan dia sebagai ikon nasional itu lebih penghormatan. Pengaruhnya ada, tapi kepercayaan tidak ada. Kena faham apa yang saya sebut,” katanya seperti dilapor Malaysiakini.

Sebelum ini pada 16 September lalu, Husam dilapor berkata bahawa populariti Mahathir yang kini merudum akan menjejaskan peluang Pakatan Harapan (PH) untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Bekas exco kerajaan Kelantan berkata, antara asas kejayaan PH menumbangkan BN PRU-14 adalah dengan mandat dan perjanjian yang ditandatangani antara Dr Mahathir dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. -Malaysiapost