WALAUPUN Barisan Nasional (BN) bukan sempurna, tetapi ia pasti lebih baik dari Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) dalam menjamin kepentingan politik bukan Melayu, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata, tiada faedah terus melayan karenah PAS yang terus melemparkan ugutan, tohmahan dan sanggahan terhadap Umno.
Menurutnya, pendirian Umno telah terang lagi bersuluh, hanya PAS yang tidak tahu apa yang dikehendakinya.
“Susah kalau orang kegilaan talak ini kerana dalam fikiran mereka dibuang sayang, di telan pahit.
“Misi Umno dan BN seterusnya ialah untuk terus mara kehadapan dan meninggalkan episod ini.
“Yang akan menentukan kemenangan BN ialah sokongan masyarakat pelbagai kaum. Jadi keutamaan mesti diberikan untuk meraih sokongan masyarakat majmuk Johor,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Mohamed Khaled berkata, rakan-rakan Umno dalam BN mesti tampil meyakinkan pengundi bukan Melayu bahawa BN mesti dikembalikan semula sebagai kerajaan.
Jelasnya, terdapat dua faktor pemangkin mengapa sokongan bukan Melayu mesti menjadi strategi paling penting bagi membantu BN di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
“Pertama, kita mesti kembali kepada formula politik berkongsi kuasa dalam semangat perkongsian yang tulen. Bukan hanya melantik seorang dua wakil bukan Melayu dalam kerajaan sebagai gambaran sebuah kerajaan yang inklusif.
“Keterangkuman mesti bersandarkan hasrat yang tulen dan murni, bukan pementasan wayang yang olok-olok.
“Kedua, masyarakat bukan Melayu adalah bahagian penting dalam kehidupan sosial, ekonomi dan politik Malaysia. Sampai bila mereka harus mempunyai perwakilan sipi-sipi dalam kerajaan dan pentadbiran,” katanya.
Dalam pada itu, tegas beliau, telah sampai masanya wakil bukan Melayu menjadi sebahagian dari kerajaan serta menguruskan negeri dan negara secara bersama dengan Umno, parti terbesar orang Melayu.
Katanya lagi, terimalah hakikat bahawa hanya dengan Umno, kestabilan politik dan perkongsian kuasa itu boleh diuruskan dengan jayanya.
“61 tahun pengundi bukan Melayu memberikan kepercayaan kepada BN. Sekarang adalah masa untuk kembali ke pangkuan BN,” katanya. – Malaysiapost

