Penubuhan GITC jayakan agenda TVET negara – PM

0
2

MESYUARAT Majlis TVET Negara (MTVET) hari ini melakar sejarah dengan memperakukan penubuhan Badan Koordinasi TVET Kerajaan-Industri (GITC).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata badan yang diterajui industri tersebut akan terlibat secara langsung dalam pembangunan modal insan TVET negara, khususnya berkaitan keperluan kemahiran dan tenaga kerja.

Katanya, keanggotaan GITC terdiri daripada 12 persatuan berdasarkan sektor industri yang bersetuju bersama-sama berganding bahu menjayakan agenda TVET negara melalui GITC.

“Mesyuarat juga telah bersetuju dengan pelaksanaan TVET Collaboration Hub, melibatkan 11 kementerian dan diselaraskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Inisiatif ini bakal menjadi platform kolaborasi strategik kepakaran, peralatan dan teknologi antara pusat kecemerlangan dengan institusi-institusi TVET, pihak berkuasa wilayah ekonomi dan industri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis TVET Negara (MTVET) secara telesidang yang dihadiri 13 menteri, tokoh industri termasuk dari Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia, ahli akademik serta wakil pelajar.

Ismail Sabri berkata, sejumlah 12 hab telah dikenal pasti termasuk automotif, semikonduktor, marin, penyaman udara, aeroangkasa, robotik, rel dan telekomunikasi.

Sementara itu, katanya, hospitaliti dan pelancongan serta teknologi makanan pula akan dilaksanakan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Mesyuarat bersetuju secara dasar dengan cadangan penarafan tunggal TVET, namun proses libat urus bersama kementerian serta industri perlu dilaksanakan sebelum dibentangkan semula dalam mesyuarat MTVET yang akan datang.

“Inisiatif ini dijangka akan memperkukuh simbiosis ekosistem TVET dalam menghubungkan pihak-pihak yang terlibat untuk merapatkan jurang di antara permintaan dan penawaran tenaga kerja,” katanya.

Ismail Sabri berkata, mesyuarat juga bersetuju secara dasar dengan cadangan penarafan tunggal TVET, namun proses libat urus bersama kementerian serta industri perlu dilaksanakan sebelum dibentangkan semula dalam mesyuarat akan datang.

“Inisiatif-inisiatif ini bakal menyediakan graduan yang menepati keperluan industri, meningkatkan kualiti institusi TVET, memperkukuh penawaran program berorientasikan industri dan memperhebat keterlibatan aktif industri,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, sudah tiba masanya TVET menjadi pilihan utama belia dalam mempersiapkan diri untuk masa depan kerana TVET telah terbukti mampu melahirkan individu berkemahiran, terlatih dan berbudaya usahawan.

Katanya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah diminta membuat pendedahan awal sistem pendidikan TVET kepada pelajar Tingkatan 1, agar mereka boleh membuat pilihan bersesuaian dengan kecenderungan mereka.

“Sehingga kini, terdapat 1,295 penyedia TVET awam dan swasta yang merentasi 11 kementerian termasuk 22 institusi TVET kerajaan negeri di seluruh Malaysia, yang menyediakan pengajian peringkat sijil dan
diploma.

“Kerajaan kini mengiktiraf Diploma Vokasional Malaysia (DVM) sebagai laluan ke rangkaian universiti teknikal awam di Malaysia (MTUN) iaitu Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

“Justeru, kita berharap TVET dijadikan pilihan setara dengan akademik, sekali gus menjadikannya sebagai kerjaya pilihan sepertimana negara maju yang lain,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here