Ada yang sembunyikan kes Covid-19 – Dr Nor Azimi

0
3
Jenazah covid-19 dibawa oleh petugas-petugas Bilik Mayat HKL ke van jenazah dan dibawa ke tanah perkuburan.

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang melaporkan terdapat kes Covid-19 yang tidak dilaporkan walaupun ujian saringan kendiri dilakukan adalah positif dan kes hanya diketahui selepas kematian pesakit.

Pengarahnya, Datuk Dr Nor Azimi Yunus, berkata kes berkenaan diklasifikasi sebagai kematian luar hospital atau Brought in Dead (BID).

Berkongsi mengenai kes berkenaan, beliau memaklumkan kes berlaku di sebuah daerah di Pahang membabitkan seorang warga emas yang dijangkiti oleh anak yang pulang ke kampung menziarah.

“Kisah bermula bila ada ahli keluarga balik dari Kuala Lumpur (KL) melawat ibu bapa di kampung. Ibu bapa kebetulan ada masalah penglihatan dan mereka tidak begitu sihat untuk keluar ke sana sini.

“Dua hari berada di kampung, anak terbabit kembali semula ke KL dan bergejala serta akhirnya disahkan positif Covid-19.

“Bila berita ini diketahui, semua ahli keluarga di kampung termasuk arwah terus melakukan ujian saliva. Semua ujian negatif kecuali arwah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Menurutnya, keluarga bagaimanapun tidak melaporkan hal ini kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau melaporkan ke dalam MySejahtera dan sebaliknya arwah diasingkan di bilik berasingan dalam rumah yang sama.

Beliau berpendapat, mungkin keluarga pesakit berkenaan tidak melaporkan kes itu kerana khuatir pesakit akan bersendirian jika dibawa ke hospital atau Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) .

“Mungkin arwah selesa berada di rumah. Senang untuk keluarga pantau. Mungkin itu fikir mereka.

“Atau mereka bimbang keluarga akan dikategorikan sebagai kontak rapat CC1 dan pasti akan dipakaikan gelang dan dikuarantin. Namun tindakan begini boleh mengundang komplikasi. Apalagi jika melibatkan warga emas,” tegasnya.

Dr Nor Azimi berkata, keluarga berkenaan bagaimanapun membuat ujian saliva harian ke atas semua ahli keluarga, tetapi mereka mungkin tidak mahir memantau kesihatan arwah dan sehari kemudian, pesakit disahkan meninggal dunia.

Menurutnya, orang ramai perlu mengambil iktibar dari kejadian itu, terutama jika ingin pulang ke kampung sama ada bercuti, meraikan perayaan atau melawat ibu bapa, lakukan ujian saringan dahulu supaya kita tidak membawa pulang virus bersama.

Katanya, selain itu semua ujian saliva yang positif mesti dilaporkan supaya PKD boleh membuat pemantauan kes dan pesakit Covid-19 yang berusia sepatutnya dimasukkan ke hospital atau PKRC supaya pemantauan rapi boleh dibuat.

“Tidak dinafikan kes positif boleh kuarantin di rumah. Tapi dengan syarat tertentu. Keluarga perlu mahir untuk pantau. Juga memerlukan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Dua dos vaksin tidak mencukupi. Pengambilan dos penggalak perlu untuk mengurangkan risiko komplikasi dan kematian. Arwah telah lengkap dua dos vaksin cuma belum lagi dos penggalak,” katanya.

Beliau mengingatkan bahawa kematian akibat Covid-19 sangat menyayat hati hingga urusan kebumi juga tidak sama seperti kematian penyakit lain. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here