PRN Johor: Wira Putra gesa benarkan kempen, ceramah bersemuka

0
2

WIRA Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) menggesa kerajaan melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) kempen secara bersemuka dan penganjuran ceramah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketuanya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif, berkata Suruhajaya Pilihan Raya (SPR) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) diingatkan supaya tidak mematikan demokrasi dengan memberi ruang dan saluran bagi parti bukan kerajaan berkempen.

“Wira PUTRA menggesa SOP kempen secara semuka dilonggarkan dan kebenaran mengadakan ceramah dengan kapasiti yang lebih sesuai pada PRN Johor nanti.

“Kita juga berharap tidak ada tindakan dan halangan yang bersifat berat sebelah kepada parti pemerintah semata-mata,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, keputusan Umno Johor telah mengakibatkan keperluan untuk mengadakan PRN di negeri itu.

“Sekali lagi akibat kegopohan dan kegelojohan pemimpin, rakyat bakal menjadi mangsa kerana perlu menghadapi pilihan raya pada ketika jumlah kes Covid-19 meningkat semula,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mempersoalkan bagaimana rakyat dapat melalui proses pilihan raya yang adil sedangkan demokrasi didakwa mati bawah kerajaan Umno.

“Keputusan yang bakal dikeluarkan nanti perlu mengimbangi kemelut kesihatan dan juga keselamatan serta dijadikan satu keutamaan dalam waktu berkempen.

“Namun kena ingat, keperluan berlakunya PRN adalah kehendak kumpulan daripada parti kerajaan juga.

“Maka perlu adil beri ruang kepada parti-parti baharu seperti PUTRA jika bertanding, untuk turun berkempen membantu calon bagi pihak parti masing-masing.

“Jangan guna alasan Covid-19 untuk SOP PRN,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here