Segerakan Pendengaran Awam SELCAT HSKLU

0
2

KERAJAAN Selangor digesa mengadakan Pendengaran Awam Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) berhubung isu Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU).

Setiausaha Otai Reformis 1998, Abdul Razak Ismail, berkata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari perlu mengotakan janjinya mengadakan pendengaran awam SELCAT agar ia menjadi ‘benchmark’ ketulusan dan transparensi kerajaan negeri membabitkan isu terbabit.

“Dalam kenyataan media Menteri Besar Selangor pada 8 September 2021 menyatakan beliau akan menulis surat kepada Speaker Dewan DUN Selangor (selaku Pengerusi SELCAT) agar mengadakan pendengaran SELCAT bagi merungkai isu berbangkit berhubung penyahwartaan Hutan Simpan itu.

“(Bagaimanpun) saranan Menteri Besar itu telah berlanjutan lebih lima bulan dan kami menggesa pendengaran tersebut diadakan dengan kadar segera bagi mendapatkan penjelasan pihak kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata, setelah pembatalan cadangan penyahwartaan hutan tersebut diumumkan susulan desakan kuat dari pelbagai pihak, Amirudin juga mengumumkan akan menwartakan semula hutan tersebut sebagai Hutan Simpan Kekal.

“Serta menyatakan bahawa sebahagian kecil tanah tersebut akan dikekalkan untuk terus dinyahwartakan bagi projek pembinaan landasan ECRL dari jajaran Pelabuhan Klang melalui Jenjarom (dalam kawasan HSKLU ) ke Putrajaya seterusnya ke Nilai dan Klawang Negeri Sembilan.

“Bagaimanapun baru-baru ini dilaporkan Kerajaan Pusat dan Negeri akhirnya bersetuju menggunakan jajaran asal, dari Pelabuhan Klang ke Kapar seterusnya ke laluan Serendah, Gombak dan seterusnya ke Bentong dan tidak lagi perlu ‘menyentuh’ HSKLU.

“Namun, Otai telah menulis dua kali kepada SUK Negeri Selangor bagi mewartakan semula HSKLU bertarikh 15 Oktober 2021 dan 7 Januari 2022 tetapi hingga hari ini tiada sebarang maklum balas diterima dari pejabat SUK.

“(Sudah hampir 5 bulan) dari tarikh MB Selangor mengumumkan pembatalkan cadangan membangunkan Hutan tersebut pada 8 September 2021,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius mengenai perkara ini.

“Justeru, Otai berharap isu ini menjadi keutamaan dan contoh bagi mana-mana kerajaan negeri apabila berhadapan dengan isu berkaitan pembangunan Hutan Simpan Kekal di negeri masing-masing di masa akan datang,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here