Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meminta pemimpin Bersatu “menekan butang” jika tidak lagi ingin memberi sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Katanya, pemimpin Bersatu tidak perlu terus mengugut Ismail Sabri mengenai sokongan yang diberikan parti itu.
“Depa ini tak henti-henti ugut. Hari itu, presiden-presiden parti. Hari ini, giliran penulis manifesto bukan kitab suci.
“Butang kan ada?,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.
Sebelum ini Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Bersatu mengugut untuk menekan butang dengan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri Johor pimpinan Umno.
Bagaimanapun ia tidak berlaku sehinggalah pembubaran DUN Johor hujung bulan lalu.
Dalam ucapan pada ceramah di Muar, Johor malam tadi, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata sokongan parti itu pada Ismail Sabri sebagai bersyarat.
Wan Saiful juga turut mengingatkan Ismail Sabri bahawa dia diangkat menjadi perdana menteri adalah disebabkan pencalonan oleh parti itu dan bukannya Umno.
“Kita kena ingat Ismail menjadi Perdana Menteri hari ini bukan dicalonkan Umno. Bukan Umno calonkan dia.
“Kalau Umno silap-silap dia nak Zahid Hamidi (jadi Perdana Menteri). Nak Zahid. Pening kepala nak jawab tetapi itulah hakikatnya,” katanya dalam kempen ceramah Perikatan Nasional (PN) di Muar yang disiarkan di Facebook Penerangan Bersatu.- Malaysiapost

